Tuesday, 26 October 2010

PENJELASAN PELEPASAN WAKTU BERTUGAS SRS

Berikut diperturunkan beberapa petikan penting tentang Pelepasan Waktu Bertugas Kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Yang Menjalankan Tugas Rondaan Di Bawah Skim Rondaan Sukarela Kawasan Rukun Tetangga mengikut Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 23 Tahun 2008 yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari, 2009.

  1. pegawai hendaklah menjadi ahli Rukun Tetangga di kawasan kediamannya dan terlibat dalam Skim Rondaan Sukarela. Ketua Jabatan boleh menghendaki pegawai mengemukakan dokumen pengesahan yang membuktikan pegawai menjadi ahli Rukun Tetangga.
  2. pegawai hendaklah mendapat kelulusan pelepasan waktu bekerja daripada Ketua Jabatannya terlebih dahulu sebelum menjalankan tugas rondaan dengan menggunakan borang seperti di Lampiran A dan menyertakan dokumen sokongan iaitu jadual rondaan yang telah disahkan oleh Jawatankuasa Rukun Tetangga kawasan tersebut. Pertimbangan oleh Ketua Jabatan hendaklah mengambil kira kepentingan perkhidmatan pegawai.
  3. pelepasan waktu bekerja ini juga boleh diberi kepada pegawai yang bekerja syif. Ketua Jabatan hendaklah memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas ekoran daripada pelepasan waktu bekerja ini.
  4. tempoh pelepasan waktu bekerja yang dibenarkan ialah mengikut tempoh sebenar meronda tertakluk kepada tempoh minimum rondaan selama 4 jam berterusan selepas pukul 12.00 malam.
  5. tempoh pelepasan waktu bekerja hendaklah digunakan pada sebelah pagi sahaja pada hari yang sama tugas rondaan dijalankan. Tempoh pelepasan waktu bekerja ini tidak boleh dibawa ke sebelah petang atau hari berikutnya atau dikumpulkan untuk ditukar dengan cuti. Tempoh pelepasan waktu bekerja yang tidak digunakan akan dianggap luput.
  6. pegawai hendaklah mengemukakan dokumen pengesahan daripada Jawatankuasa Rukun Tetangga kawasan berkenaan yang mengesahkan rondaan telah dijalankan pada waktu yang ditetapkan untuk tujuan rekod.
  7. seseorang pegawai hanya layak diberi pelepasan waktu bekerja ini tidak melebihi dua kali dalam tempoh satu bulan kalendar.

Pemakaian Pekeliling ini tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing iaitu Semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

No comments:

Post a Comment