Malam 24 Oktober, 2010 telah berlangsung Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti KRT Daerah Kubang Pasu di Pusat Komuniti Rukun Tetangga Jitra Utara bertempat di Taman Cempaka. Majlis dipengerusikan oleh Yang Berbahagia, Encik Ismail bin Zakaria, Pegawai Perpaduan Daerah. Turut hadir ialah Tuan Haji Shuib bin Din, Pengerusi Penyelaras Rukun Tetangga Daerah Kubang Pasu merangkap Wakil Peribadi Ahli Parlimen Kubang Pasu. Hadir sama ialah beberapa Pengerusi atau Setiausaha KRT Daerah Kubang Pasu dan Jerlun. Semua Penolong Pegawai Perpaduan Daerah juga turut hadir.
Antara yang diperbincangkan ialah beberapa tugasan khusus kepada setiap KRT untuk mengemaskinikan maklumat mengenai Ahli Jawatankuasa, Aktiviti dan Kewangan secara dalam talian. Hal ini penting kerana prestasi setiap KRT akan dinilai melalui maklumat tersebut. Selain itu, peruntukan Geran Tahunan juga bergantung kepada aktif atau tidak sesebuah KRT berdasarkan laporan melalui web.blog atau laporan secara dalam talian yang akan dipantau oleh PPNIN, Negeri dan Ibu Pejabat
Setiap KRT juga diminta mengemukakan alamat emel KRT masing-masing, berbeza daripada emel peribadi. Mereka juga diminta menyiapkan laman web.blog masing-masing sebelum 15 November, 2010 dengan memasukkan semua aktiviti, jika boleh bergambar.
Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa mulai tahun 2011, Skim Rondaan Sukarela ( SRS) akan diperkasakan selaras dengan pengumuman Bajet 2011 oleh YAB Perdana Menteri tempoh hari. Setiap KRT yang menjalankan SRS dan tidak mempunyai premis sendiri akan memperolehi sebuah kabin Pusat Rondaan Sukarela yang bersaiz 20' x 40' , kemungkinan lengkap dengan perabot. Permohonan mendapatkan kabin tersebut hendaklah dikemukakan kepada PPNIN dan kebenaran untuk menempatkannya perlu diperolehi daripada Majlis Daerah Kubang Pasu. Peralatan SRS juga akan dibekalkan dengan segera, kemungkinannya mengikut bilangan Peronda Pemastautin yang berdaftar. Satu Kursus Pemantapan SRS kepada KRT yang baru akan diadakan di Hotel Bustani, Jitra pada 7 November, 2010 nanti.
Mesyuarat kemudian membincangkan mengenai Karnival Komuniti Sihat anjuran PPNIN dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Kubang Pasu. Karnival tersebut akan diadakan pada 27 November, 2010 dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Dewan Jitra. Antara acara yang akan diadakan ialah Sukaneka KRT. Antara acara dicadangkan seperti Mengandam dan Lipatan Sejadah(Wanita), Isi Air Dalam Botol(Tunas Muda), Melereng Rim Basikal(Warga Emas), Sepak Raga Ratus(Terbuka Lelaki), Lari Dalam Guni(Jiran Muda), Adik Sayang Abang(Terbuka) dan Mewarna(Pra-Sekolah). Setiap KRT akan menghantar seramai 35 orang peserta. Maklumat lanjut akan diperincikan selepas mesyuarat kedua nanti pada 3 November, 2010.
Acara lain yang akan diadakan ialah Ceramah Kesihatan, Ceramah Pemantapan Jiran Wanita, Pameran daripada Agensi-agensi Kerajaan.
Majlis Perasmian Penutup dijangka akan disempurnakan oleh YB Dato' Wira Haji Johari bin Baharom, Ahli Parlimen Kubang Pasu pada sebelah petangnya.
KRT Taman Suria 1 diberikan tanggungjawab Persiapan Tempat bersama dengan KRT Taman Desa Damai. Antara tugasan ialah menyiapkan dewan dengan kerusi dan peralatan lain untuk sesi ceramah dan penyediaan khemah-khemah untuk pameran.
Majlis juga dimaklumkan tentang Program Pemantapan Interaksi SRS Bersama PDRM di Hotel Swiss Inn, Sungai Petani pada 28 Oktober, 2010. Peserta akan berlepas dari PPNIN dengan bas jam 7.00 pagi. Beberapa KRT terpilih akan menghantar seramai 4 orang peserta terdiri daripada AJK/Peronda Pemastautin.
Untuk rekod, Karnival Komuniti Sihat telah ditangguhkan buat sementara waktu akibat bencana banjir baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment