
Malam tadi, 11 November, 2010 telah berlangsung satu Mesyuarat Khas Biro Sukan, KRT Taman Suria 1 dengan Jiran Muda dan Pengurusan Bolasepak Suria United di Dewan Orang Ramai Taman Suria 1.
Perbincangan bertumpu kepada penganjuran Liga Remaja Suriaunited yang dijadualkan bermula pada 4 Disember 2010 hingga April, 2011. Liga Remaja Suriaunited adalah anjuran bersama Kelab Bolasepak Suria United, Taman Suria dengan Kenari Fans Squad, KRT Taman Suria 1, Majlis Daerah Kubang Pasu serta Lagenda-lagenda Bolasepak Kedah.
Pertandingan ini terbuka kepada semua KRT Daerah Kubang Pasu. Setiap pasukan dibenar mendaftarkan seramai 25 orang pemain di bawah umur 14 tahun yang lahir pada tahun 1966 dan ke atas. Setiap pemain akan diberi 'kad lesen' pemain. Setiap pemain dikenakan yuran sebanyak RM22.00 untuk sepanjang tempoh pertandingan.
Format pertandingan melibatkan 11 sebelah seperti format FIFA. Masa permainan ialah: 30 minit + 5 minit rehat + 30 minit. Kaedah 'offside' juga menurut format FIFA. Pertukaran pemain sehingga 5 orang setiap perlawanan. Semua pertandingan akan diadakan pada setiap Sabtu agar tidak mengganggu pembelajaran remaja di sekolah.
Sebagai usaha menarik minat para remaja di dalam bolasepak, beberapa orang legenda bolasepak Negeri Kedah seperti Jurulatih Mohd. Azrai Khor Abdullah, Radhi Md Din dan beberapa orang lagi akan menjadi Panel Penasihat.
Venue atau padang permainan utama ialah Mini Stadium, Kompleks Pentadbiran Daerah Kubang Pasu yang telahpun mendapat kebenaran daripada Yang Berbahagia, Dato' Haji Noh bin Dahya, Pegawai Daerah Kubang Pasu. Pihak Suria United telah mengadakan satu majlis gotong- royong besar-besaran membersihkan padang, mengecat semula tiang gol serta membersihkan kemudahan di astaka dan bilik-bilik air.
Majlis Pelancaran akan diadakan di Mini Stadium, Kompleks Pentadbiran Daerah Kubang Pasu pada Sabtu, 13 November, 2010 jam 3.00 petang.
KRT Taman Suria 1 akan menaja jersi kepada pasukan Suria United yang telah memilih warna oren sebagai warna rasminya.
Adalah menjadi harapan pengurusan Kelab Bolasepak Suria United dan KRT Taman Suria 1 pertandingan ini akan memberi pendedahan awal tentang permainan bolasepak serta pembangunan bolasepak di Negeri Kedah dan menghindarkan remaja daripada terlibat dalam gejala tidak sihat selain mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan remaja.
Pihak KRT Daerah Kubang Pasu yang berminat menyertai liga ini boleh menghubungi Encik Ku Mohd Hisham bin Ku Baharom, Pengerusi/Pengurus/Jurulatih Suria United di talian 017- 4889 532 atau Setiausaha, Puan Nor Hayati bt Mohd. Shoid di talian 017- 4898 472.
No comments:
Post a Comment